The Power of Istighfar



وَٱسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰ

"Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah an-Nisa' 106]


ﺃَﺳْﺘَﻐْﻔِﺮُ ﺍﻟﻠَّــﻪَ ﺍﻟْﻌَﻈِﻴــﻢَ...

ﺃَﺳْﺘَﻐْﻔِﺮُ ﺍﻟﻠَّــﻪَ ﺍﻟْﻌَﻈِﻴــﻢَ...

ﺃَﺳْﺘَﻐْﻔِﺮُ ﺍﻟﻠَّــﻪَ ﺍﻟْﻌَﻈِﻴــﻢَ...


Kita, sebagai manusia saban hari melakukan dosa. Oleh itu, perlunya kita sentiasa beristighfar semoga Allah, Tuhan Yang Maha Menerima Taubat akan mengampuni dosa-dosa kita. Selain kita diperintahkan untuk beristighfar, maka kita juga diminta untuk kembali melakukan ketaatan dan amal yang baik, agar Allah sentiasa membersihkan kita daripada dosa.


وَٱسۡتَغۡفِرُوا۟ رَبَّكُمۡ ثُمَّ تُوبُوۤا۟ إِلَیۡهِۚ إِنَّ رَبِّی رَحِیمࣱ وَدُودࣱ

"Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih" [Surah Hud 90]


Imam Ibnul Qayyim berkata: “Apabila engkau berdoa, sementara waktu yang dimiliki begitu sempit, padahal dadamu dipenuhi dengan begitu banyak keinginan, maka jadikanlah seluruh isi doamu istighfar, agar Allah mengampunkan kamu. Apabila engkau diampuni, maka semua keperluanmu akan dipenuhi olehNya tanpa engkau memintanya"


Ada diceritakan, tentang Imam Ahmad bin Hambal ketika di akhir usianya, beliau berasa ingin sangat untuk pergi ke sebuah kota di Iraq. Beliau pun memulakan perjalanan, ketika sampai di kota tersebut, beliau ingin berehat sebentar di sebuah masjid. Semasa beliau ingin berbaring, beliau ditegur oleh penjaga masjid dan melarang perbuatannya itu, lalu beliau diminta keluar daripada masjid. Imam Ahmad amat terkenal dengan ketinggian ilmunya dan kezuhudannya namun, beliau tidak memperkenalkan dirinya dan hanya mengatakan beliau adalah musafir. Beliau hanya akur dan keluar daripada masjid. Oleh kerana terlalu letih, beliau tetap juga ingin berbaring berehat di luar masjid, namun tetap dilarang oleh si penjaga masjid tadi.

Dari kejauhan, ada seorang penjual roti yang sedang memerhatikan kejadian itu, lalu dia memanggil Imam Ahmad ketika beliau melalui kedai roti itu. Di sapanya Imam Ahmad dan menjemputnya untuk berehat di tempatnya. Imam Ahmad masih memperkenalkan dirinya sebagai musafir. Sepanjang berada di tempat rehat yang disediakan, beliau mendengar penjual roti ini sering beristighfar pada setiap tindakannya. Sambil membuat roti itu, dia melafazkan istighfar.

Imam Ahmad bertanya kepada si penjual roti: 

“Sejak bila anda melakukan itu (beristighfar)?

Jawabnya: 

"Semenjak aku bermula menjual roti iaitu sejak 30 tahun yang lalu"

Imam Ahmad bertanya lagi: 

"Apakah kesan daripada perbuatanmu ini?"

Maka lelaki tadi menjawab: 

“Semua permintaanku dimakbulkan Allah kecuali satu iaitu aku memohon kepada Allah untuk mempertemukanku dengan Imam Ahmad”

Mendengar jawapannya itu, Imam Ahmad bertakbir lalu berkata: 

"Aku didatangkan daripada Baghdad kerana istighfarmu"

Lelaki tadi bertahmid memuji Allah kerana permintaannya telah dimakbulkan.


Kisah ini menunjukkan betapa hebatnya kuasa istighfar dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah. Selain diampuni, segala hajat kita juga dimakbulkan Allah.


Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12. Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)


Lazimilah lidah dengan istighfar, semoga diri kita sentiasa diampuniNya. Jemputlah segala hajat dengan memperbanyakkan istighfar dan apa sahaja masalah yang datang halaulah ia dengan istighfar.


📍Lafaz doa dan istighfar yang mudah dan sering digunakan seperti:


1. أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

Aku memohon ampun kepada Allah, tiada Tuhan kecuali Dia, yang tetap hidup dan kekal dan aku bertaubat kepadaNya


2. رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأبْرَار

Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti yang banyak berbuat kebajikan


3. رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الخَاسِرِينَ

Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya jadilah kami daripada orang-orang yang rugi


[Sayyidul Istighfar] Daripada Syadad bin Aus Radiallahu Anhu daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesungguhnya istighfar yang paling baik adalah kamu mengucapkan:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ.

"Ya Allah Engkau adalah Tuhanku tiada Tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, aku tetap pada ikatanMu dan janjiMu selagi aku mampu. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau.”


Jom perbanyakkan istighfar!

Comments

Popular posts from this blog

Apa yang anda perlu tahu tentang Pengecualian Kredit UiTM

BA244 - Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Operasi

Supplementary Paper UiTM